Selasa, 01 Februari 2011

islam


Apa itu Islam?




Bolehkah kita temui penjelasan mengenai alam semesta? Terdapatkah sebarang penjelasan mengenai rahsia keujudannya? Kita menyedari tiada keluarga yang dapat hidup bahagia tanpa ketua keluarga, tiada sebuah bandaraya yang boleh ujud dengan teratur tanpa adanya pengurusan yang baik, dan tiada negeri boleh berjalan tanpa seorang pemimpinnya. Kita sedar tiada apa yang boleh ujud dengan sendiri.

Lebih dari itu, kita menyaksikan alam semesta ujud dan berfungsi dalam keadaan penuh teratur, dan ia telah ujud sejak berbillion tahun dahulu. Bolehkah kita katakan bahawa semua ini suatu yang berlaku secara tidak sengaja dan tanpa perancangan? Bolehkah kita anggap keujudan manusia dan seluruh alam hanyalah suatu kebetulan? Manusia hanya sebahagaian kecil dari alam semesta yang besar, dan jika dia boleh merancang dan menghargai kepentingan perancangan, maka keujudannya dan keujudan alam semesta semestinya berasaskan kepada suatu perancangan juga.

Ini bermakna ada Satu Kuasa Yang Merekabentuk disebalik keujudan kita, dan terdapat suatu kuasa luarbiasa yang mengujudkan sesuatu dan membolehkan mereka berkembang secara teratur. Di dalam suatu alam yang indah ini, semestinya ada Maha Pencipta yang merekacipta hasil seni yang indah dan membuat kesemuanya untuk suatu tujuan istimewa dalam hidup ini.

Manusia yang diberikan petunjuk menyedari keujudan Pencipta ini dan memanggilNya Allah. Dia bukan manusia kerana tiada manusia yang boleh mencipta seorang manusia lain. Dia bukan suatu haiwan, dan Dia juga bukan suatu tumbuhan. Dia bukannya suatu berhala atau suatu patung, kerana benda-benda itu tidak berkuasa mencipta diri sendiri mahupun benda-benda lain. Dia lain daripada kesemua benda, kerana Dia Pembuat dan Penjaga kesemua benda yang lain. Pembuat semestinya berbeza dan lebih hebat daripada benda yang dibuatnya.

Terdapat banyak cara untuk mengenali Allah dan banyak penjelasan yang boleh dibuat mengenaiNya. Keajaiban-keajaiban dan kehebatan yang terdapat di dunia merupakan satu buku terbuka dimana kita dapat membaca mengenaiNya. Selain daripada itu, Allah subhanahuwata’ala membolehkan kita mengenaliNya melalui rasul-rasulNya dan wahyu-wahyu yang diturunkan kepada manusia. Rasul-rasul alaihissalam dan wahyu-wahyu menerangkan kesemua perkara yang memungkinkan kita mengenali Pencipta kita.

Islam bermaksud penerimaan sepenuhnya terhadap kesemua ajaran-ajaran dan petunjuk Pencipta sebagaimana yang diturunkan kepada rasul-rasulNya alaihissalam. Islam mensyaratkan keimanan kepada keesaan dan kekuasan Allah subhanahuwata’ala, yang menyebabkan manusia menyedari erti keujudan alam semesta dan erti keujudan dirinya di dalam alam semesta ini. Kepercayaan ini membebaskan manusia daridapa semua ketakutan dan kepercayaan karut kerana ianya menyedarkan manusia akan keujudan Allah Yang Maha Berkuasa dan tanggungjawab mereka kepadaNya.

Keimanan ini mesti diterjemahkan dan diuji dalam bentuk tindakan kerana keimanan sahaja tidak mencukupi. Kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa menuntut kita melihat manusia sejagat sebagai sebuah keluarga besar dibawah naungan Yang Maha Pencipta dan Maha Pemberi Rezeki. Islam menolak tanggapan kononnya segolongan manusia adalah kelompok terpilih. Pada masa yang sama, ia mengiktiraf bahawa keimanan kepada Yang Maha Pencipta, dan amalan soleh sahajalah jalan menuju ke syurga. Justeru, perhubungan langsung ujud dengan Allah tanpa memerlukan orang tengah.

Harus diingat bahawa Islam bukannya sebuah agama baru. Sebenarnya ia merupakan mesej dan pertunjuk yang sama yang telahpun diwahyukan kepada semua nabi-nabi seperti Adam, Idris, Nuh, Ibrahim, Ismail, Ishak, Daud, Musa, Isa, dan Muhammad sallallahu’alaihiwasallam. Namun, mesej yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad sallallahu’alaihiwasallam adalah Islam yang lengkap, sempurna, dan terakhir.

Berhubung dengan itu, Al-Qur’an ialah wahyu Allah yang menjadi sumber asas ajaran dan syariah Islam. Ia membicarakan asas-asas keimanan, moral, sejarah kemanusian, penyembahan kepada Tuhan, ilmu, kebijaksanaan, hubungan manusia dengan Allah, dan segala aspek kehidupan manusia. Ia mengandung ajaran-ajaran yang lengkap yang boleh dijadikan rujukan untuk membina sistem kehidupan yang baik dan keadilan sosial, ekonomi, politik, perundangan, dan hubungan antarabangsa. Kesemuanya adalah isi penting daripada Al-Qur’an.

Manakala Hadis pula mengandungi didikan-didikan, kata-kata, dan tindakan-tindakan Nabi Muhammad sallallahu’alaihiwasallam yang dilapur dan dikumpul oleh para sahabat baginda. Ia menerangkan dan menjelaskan ayat-ayat Al-Qur’an.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar